Sayyidina Ali R.A:

" Manusia sebenarnya sedang nyenyak tidur, sehinggalah mati barulah ia terjaga dan sedar bahawa banyak kewajipan telah terabai."

Selasa, 11 Ogos 2009

MASA, PANDANGAN DAN KEIKHLASAN. - YANG TERLIHAT & GAGAL DIGENGGAM

Lebih sebulan aku tak update blog. Sewaktu aku gatal tangan untuk wujudkan medium ni kira-kira 3 bulan lepas, iltizam mahu jadi blogger prolifik. Tema blog aku adalah kisah-kisah perjuangan, pengorbanan dan seangkatan dengannya. Asasnya adalah kerana hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan bukannya kerja main-main kerana di hadapan sana menuntut kesanggupan untuk berkorban.

Semua orang ada pandangan. Orang butapun ada pandangan yang kerapkali lebih jernih dari yang celik. Isunya ialah bersediakah kita untuk berbeza dari orang lain dan sebaliknya juga ? Sesekali apabila kita memandang satu arah dari sudut berbeza, pastinya kita temui satu kelainannya daripada sebelum ini. Kesimpulan mudah, persepsi yang salah mungkin hasil dari pemikiran sehala tanpa adanya pilihan yang lain. Bagi yang zalim, kuasa adalah pengaruh dan tekanan untuk memaksa orang lain menerima pemikiran mereka tanpa hujah dan bahas. Jarang orang berlaku adil kerana ego yang sukar ditundukkan dan fitnah digunapakai bagi menutup kebenaran.

Pandangan aku, biarlah aku jarang update blog daripada aku penuhi wadah ini dengan catatan-catatan kosong dan sampah.

Selama sebulan ini bukan tak pernah aku jenguk blog ni. Sesekali singgah sekejap sebelum berkunjung ke sekian banyak genre dalam ruang maya terbuka. Ada pelbagai rupa, isi, arah dan uslub. Kerana ruang ini terbuka, maka lantaklah siapa dan untuk apa mereka hadir ke persada maya ini. Masing2 punya intelek untuk bersetuju atau tidak, menerima atau menolak.

I

Satu tengahari aku berkeputusan ke sebuah bank. Sesampainya masa nak parking kapcai aku, ternampaklah aku sorang budak sekitar penghujung belasan tahun yang rasanya pernah terjumpa tapi tak ingat di mana. Fizikalnya sihat walafiat. Pakaiannya kusam dan wataknya seperti kehilangan dan kebingungan. Dia memanggil aku dari jauh..bang! ..bang! dan selamba aku pekakkan telinga kerana aku rasa dia hanya mahu minta sesuatu – seringgit dua buat beli makanan yang katanya sudah berhari kelaparan. Taktik yang selalu aku jumpa di Puduraya. Selepas kunci apa yang patut motorsikal burukku, terus saja aku berpaling ke arah mamat tu dan kata Tak ada! Tak ada duit! Takdalah aku herdik atau lemparkan kata hina, sekadar memandang sinis kepadanya lalu diapun angkat kaki dan ghaib entah ke mana.

Sepuluh minit kemudian seusai urusan aku, budak tadi muncul balik. Kali ini dia tak panggil aku lagi tapi kelihatan duduk keletihan. Mungkin gagal mendapatkan hajatnya dari sekian ramai manusia yang lalu lalang. Aku berlalu pulang sambil melihatnya dari hujung mata. Tak terkata apa.

Ketika dalam perjalanan balik ke ofis, kewarasan aku semacam cedera dengan tindak tanduk sendiri. Patutkah aku biar camtu ja budak tu? Usianya lebih muda dari aku tapi apa yang dicubanya bagi aku tak wajar. Pandangan kita mungkin klise pada peminta sedekah baik muda atau tua yang penuh tipu helah. Masalahnya fizikal tubuh badan budak tu tak dapat mengatasi sikap tipu atau jujur. Kesempurnaan yang ada tidak sepatutnya direndahkan maruah untuk hidup meminta.

Cuma bagaimana kalau, mamat ini ada masalah keluarga yang dihalau keluar dari rumah lalu terdampar ke pekan kecil ini. Sebagai remaja tercicir sudah tentu tidak mudah untuknya menghadapi dugaan hidup yang keras dan inilah saja yang termampu untuk difikir. Isikan dulu perut sebelum menyelesaikan lain2 perkara pokok. Mungkin baginya bermuka tebal meminta belas dengan jujur lebih baik daripada mencuri dan meragut di jalanan.

Apakah suatu masa nanti kita tidak dipersoalkan tentang kemashlahatan sesama insan ? Atas alasan bukan tugas hakiki atau malas untuk ambil tahu? Jangan melatah jika mereka berpaling arah kepada "orang lain" yang jauh lebih peduli.



Kenapa aku tidak mampu memberi ruang masa yang sebentar untuk pedulikan mamat tu. Siapakah lagi yang akan pedulikan mamat tu? Mungkin ada orang lain dan orang lain juga berpendapat ada orang lain yang ambil hirau.

Ia bukanlah soal beri atau tidak apa yang diminta. Soalnya adalah kepedulian. Soal bimbang terperangkap dengan kemelut asing adalah perkara lain. Itu belum lagi masuk bab dakwah. Mad’u yang minta perhatianpun ditinggal dan disepikan.

Masa telah menyaksikan daie ini telah lari dari medannya yang sarat dengan ganjaran dan balasan gembira.

II

Secara kebetulan bertemu seorang sahabat di sebuah kedai kopi untuk bersarapan. Aku hormati beliau kerana usia dan alimnya lebih dariku hasil istiqamah mengikuti pengajian tidak formal di pelbagai kuliah dan tempat. Baru-baru ini melalui sebuah NGO aku bersama rakan2 telah anjurkan sebuah forum agama di sebuah masjid. Berberapa panelis tempatan telah diundang. Berbicaralah sahabat ini tentang rasa tidak setujunya kami menjemput salah seorang panelis ini. Baginya panelis ini adalah puak yang memperkecil dan merendahkan ulama terdahulu. Tak semua ilmunya boleh dipakai. Aku sekadar tersenyum. Sahabat ini adalah antara sekian banyak mereka yang kritis dan keras terhadap satu golongan yang tidak mereka setujui ini. Aku sebutkan ia sebagai golongan A.

Pernah juga aku aktif menganggotai golongan B – yang kritis dan keras terhadap golongan A. Menganjur seminar, mengikuti kuliah tokoh jauh dan dekat. Menyimpan sekian banyak koleksi audio dan video. Golongan ini tidak sehaluan dengan golongan A dan membuat label kepada mereka dengan pandangan dan bahasa yang keras.

Apa yang cuba aku rungkai adalah soal ilmu dan penghayatan. Pada aku dengan aqidah yang sama, Itulah asasnya. Bezanya hanyalah penghayatan dalam amalan dan perkara itu memerlukan tambahan ilmu yang dipelajari dari masa ke semasa. Contohnya samakah solat seharian yang kita pelajari sewaktu kanak-kanak berbanding usia kita hari ini?

Pendapat lahir dari ilmu. Ilmu kita bukan untuk dipaksa kepada orang lain dengan senjata fitnah yang berlanjutan dan sia-sia. Jangan berhenti untuk belajar kerana ia membuka jalan hikmah.

Ia bukan soal salah atau benarnya kedua-dua golongan ini. Sebaliknya apakah yang kita mampu untuk meraikan sahabat kita yang tidak sealiran sepertimana Imam AsSyafie dan Imam Malik? Mungkin keegoan kita untuk berlapang dada telah menjauhkan ukhuwah sesama kita. Amalan kita sepatutnya berdasarkan ilmu yang kita miliki dengan tawaduk. Janganlah sewenang menuduh dan melabel orang lain. Bicaralah soal agama dan pegangan kita dengan pendekatan lembut dan hikmah. Luangkan masa untuk menambah ilmu dari aliran yang lain. Akhirnya kita sedari apa yang dipolemikkan sesama kita selama ini telah banyak membuang banyak masa.


Berbalik kepada sahabat tadi, seluas dan setinggi manapun ilmu yang kita miliki, mengapa tidak menjadikan kita lebih memahami orang lain disamping berusaha supaya orang lain mahu memahami kita? Kenapa hanya pendirian kita sahaja yang kita agungkan sedangkan pemikiran orang lain ditolak dengan kata-kata kebencian dan melonggarkan sendi-sendi persaudaraan?

Perkiraan terakhir adalah keikhlasan beramal haruslah dituruti dengan ilmu bukan dari tiru-tiruan.


III

Keluarga kecewa kerana aku terlibat dengan perjuangan politik arus kiri. Keluarga ini tidak pernah menongkah arus. Mereka mahu aku ikut tradisi tanpa memalukan perjuangan leluhur. Wajar diteruskan kesinambungan yang telah memberi banyak rahmat dan membuka pintu rezeki sehingga ke hari ini.

Perjuangan yang jelas dan syumul menyelesaikan banyak kemelut biar berpunca dari mana sekalipun.


Sedikitpun aku tak rasa bersalah kerana memilih haluan ini. Biarpun dalam desa ini gerombolan perdana menguasai secara total, aku apa peduli? Aku mahu menyanggah arus secara jujur tanpa berselindung. Mengapa pendirian dan pilihan aku ditentang semacam aku penjenayah besar?

Aku sedar sejak berhijrah ke pekan, kebajikan mereka dirai oleh jiran2 dan komuniti setempat. Tapi sakit demam mereka tak pernah aku abaikan. Cuma wang ringgit membataskan kemampuan aku membantu mereka secara material walaupun tak diminta, tapi maklum saja zaman ini semuanya seperti perlumbaan. Bila umum mengetahui keterlibatan aku dalam arus kiri, pandangan masyarakat terhadap keluargaku kelihatan dan bernada sinis. Komuniti ini seperti mengugut agar keluarga hati2 dan jangan sesiapa terpengaruh dengan rasional dan pandangan aku.

Sejarah adalah sejarah. Selamanya kita berterima kasih atas segala yang baik yang diwariskan hingga ke hari ini. Menjadikannya sebagai asas untuk terus mendominasi kuasa adalah sesuatu yang melampau kerana dalam masa yang sama mereka menyalahgunakan kuasa dan berlagak mulia di hadapan kita dengan cerita-cerita wangi media yang bias kepada lawan politiknya. Mereka mahu bangsa ini tetap bergantungan nasib dengan mereka biar apapun berlaku. Mereka mendabik dada sebagai pemilik tanah ini. Hanya merekalah pembela dan pejuang kemerdekaan sebenar dengan bijaksananya tanpa menumpah darah sesiapa.

Setiap perjuangan ada asasnya. Kerana hidup ini tidaklah lama maka bodoh bagi kita meyertai perjuangan yang bersegmen pendek dan terbatas arahnya. Perjuangan dipegang pada asasnya. Asasnya terletak pada perlembagaan. Sejauh manapun kita menyimpang dan tersesat, disitulah kita kembali memperbaiki kesilapan. Asas dan tindakan yang betul oleh pimpinan merupakan muka pertama kepada perjuangan. Polemik boleh saja berlangsung secara kritis oleh sesiapa kepada sesiapa saja. kecamuk dan kekeliruan boleh dirungkai dengan kembali merujuk asas perlembagaan.

Mereka mengungkit bahawa jasa mereka telah mendarah daging dalam tubuh kita. – Apakah mereka mahu aku bunuh diri untuk “bebaskan diri dari budi baik” mereka? Sedarlah sedikit dan terima kenyataan bahawa semuanya adalah tanggungjawab sesiapa saja yang memerintah dan mentadbir. Perjuangan untuk bangsa umpama jaguh kampungan di kala mereka berdegar2 bercakap soal dunia global. Apakah akhirnya nanti mereka mahu jadi YAHUDI baru yang segala2nya bertitik tolak dari soal bangsa?

Pada keluarga, aku bukan mahu menderhaka. Cuma mahu kembali ke jalan fitrah dan keluar dari doktrinisasi sesat. Tentang rezeki, biarlah sedikit dan berkat daripada mewah dan tergelincir akidah. Ketahuilah, kita orang baik2, maka tidak wajar untuk kita berada di tempat yang tidak baik.

Islam itu tinggi dan tiada apa yang lebih tinggi.

Prihatinlah walau kita tidaklah berapa betul tapi bersedia untuk diperbetulkan dan beranilah untuk tidak bersetuju kerana kecederaan pemikiran hanya dapat dipulihkan dengan jalan perjuangan yang benar, jujur dan ikhlas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SATU MANIFESTASI


HIDUP - Tiada apa yang remeh lagi percuma. Sang Pejuang - Masanya terbatas bertemankan sabar dan tabah. Lorongnya ikhlas jalannya pengorbanan dan destinasinya - REDHA ILAHI. Ada ketika menang dan kerapkali kecundang. Jatuh dan bangun semula walau sehina mana. Tiada jalan pintas, jalan mudah - rasuah jangan dicuba. Bersendiri dan menangislah atas kezaliman diri. Air mata sesal lebih bernilai dari rasa sombong.

Sebelum "ESOK" kena belasah...JOM ! - Aku, Kau & Kita sama-sama - BERUBAH !
Berdoa. Teguhkan aqidah, istiqamah dan tawakkal.
Moga waktu ini lebih baik dari sebentar tadi.